BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Tiga orang warganegara asing ditahan semasa Operasi Panyap 67/2025 Bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bersama agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dari Jabatan Buruh dan Jabatan Kemajuan Perumahan, baru-baru ini.
Dalam operasi yang menyasarkan rumah-rumah di Mukim Kota Batu, Mukim Mentiri dan Mukim Gadong B, tujuh orang warganegara asing telah diperiksa dan seorang daripadanya dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-undang kerana gagal untuk mengemukakan dokumen yang asal dan juga dipercayai melakukan kesalahan Peraturan 15(2) Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Manakala dua orang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh dan salah seorang daripadanya juga gagal mengemukakan dokumen yang sah.
Sementara itu, hasil daripada operasi itu juga, Jabatan Buruh telah mendapati beberapa kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh dua orang warganegara asing di bawah kategori pembantu rumahtangga yang terlibat dalam melakukan pekerjaan kegiatan pembinaan dan perniagaan.
Mereka didapati bersalah bagi kesalahan Bab 86, Perintah Pekerjaan 2009 iaitu kesalahan penempatan pekerja asing yang mana majikan wajib mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Buruh bagi tempat pekerjaan bagi pekerja-pekerja di bawah jaminan syarikat dan kesalahan di bawah Bab 112 (2), Perintah Pekerjaan 2009 iaitu kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing yang mana pekerja yang dijamin tidak ditempatkan di tempat yang diisyitiharkan ke Jabatan Buruh.
Jabatan Kemajuan Perumahan juga mendapati beberapa pelanggaran iaitu sebuah rumah melanggar peraturan syarat bagi mengikuti Rancangan Perumahan Negara (RPN) iaitu membenarkan orang selain daripada ahli keluarganya mendiami rumah miliknya dengan menempatkan pekerja asing di rumah tersebut dan kesalahan bagi menternak ayam serta kebersihan rumah yang kurang memuaskan. Pemilik rumah diberikan arahan lisan untuk menghentikan kegiatan menempatkan warganegara asing di rumah berkenaan, menternak ayam dan membersihkan kawasan rumah dengan serta-merta.
Di rumah kedua, pemilik rumah didapati melanggar peraturan syarat mengikuti RPN iaitu membenarkan orang selain daripada ahli keluarganya mendiami rumah miliknya, menjalankan kegiatan bengkel dan kebersihan rumah yang kurang memuaskan. Pemilik rumah diberikan arahan lisan untuk menghentikan kegiatan bengkel dan membersihkan kawasan rumah dalam tempoh tiga hari.