KUCHING, 14 JULAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM1.6 juta dalam enam serbuan berasingan menerusi Op Taring di beberapa daerah di Sarawak, baru-baru ini.
Komander Briged Sarawak, SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata operasi membabitkan kerjasama unit risikan dan infantri Batalion 10 dan 11 PGA itu membawa kepada
penahanan sembilan individu berusia 24 hingga 62 tahun termasuk seorang warga Indonesia.
Beliau berkata dalam serbuan 7 Julai di Bau, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan selepas didapati membawa 350 kotak makanan sejuk beku tanpa permit menggunakan sebuah lori dengan rampasan dianggarkan berjumlah RM209,600.
Che Ghazali berkata dalam operasi di Sibu pada 8 Julai, PGA menahan dua lelaki masing-masing seorang warga tempatan dan Indonesia berusia 24 serta 40 tahun selepas memeriksa sebuah premis dan kenderaan pacuan empat roda (4WD).
“Turut dirampas 238 kilogram makanan sejuk beku, sebuah forklift dan sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM479,099,” katanya dalam kenyataan di Kuching hari ini.
Antara 9 hingga 11 Julai, PGA telah menahan beberapa lelaki di Lundu, Kota Samarahan, Kuching dan Bau atas kesalahan penyeludupan diesel, ubat dan herba tanpa permit, dengan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM985,000. – Bernama
