KUCHING, 12 NOV – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menggagalkan penyeludupan pelbagai jenis barangan termasuk rokok dan minuman keras dengan keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM3.7 juta dalam beberapa serbuan menerusi Op Taring dari 27 Oktober hingga 11 November.
Komander Briged Sarawak, SAC Lim Bak Phai, berkata dalam kejayaan pertama pada 27 Oktober, pihaknya menahan dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun serta seorang wanita berumur 25 tahun di dua premis berasingan dan merampas 127 karton rokok serta 386.16 liter minuman keras bernilai RM58,175.60.
“Pada hari yang sama dalam operasi berasingan di Kuching dan Bau, PGA menahan seorang lelaki, seorang wanita tempatan dan tiga wanita warga asing berumur 19 hingga 26 tahun. Rampasan merangkumi 290 karton rokok dan 4,645.52 liter minuman keras bernilai RM123,336.95.
“PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun di Kampung Stass, Bau, yang disyaki cuba menyeludup produk sejuk beku tanpa dokumen sah.
Rampasan termasuk 19,200 peket sosej dan sebuah lori bernilai RM240,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata pada 28 Oktober, PGA menahan dua lelaki tempatan berumur 35 dan 40 tahun di sebuah premis sekitar Sibu serta merampas 2,374 karton rokok, 3,332.4 liter minuman keras dan sebuah van yang keseluruhannya bernilai RM1.11 juta.
Beliau berkata pada hari yang sama, PGA menahan lelaki tempatan berusia 54 tahun dari Kampung Stass, Bau, yang cuba menyeludup tong gas tanpa dokumen sah dengan rampasan 214 unit tong gas dan sebuah lori bernilai RM159,582.40. – Bernama

