Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    OPEC+ adakan pertemuan atas desakan biden

    LONDON, 30 NOV – Pengeluar minyak OPEC+ akan mengadakan pertemuan pada Khamis atas desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang telah membuka simpanan minyak negaranya bagi menurunkan harga minyak mentah, dan varian baharu COVID-19 yang merumitkan lagi keadaan.

    Pertemuan ‘akan menjadi salah satu yang paling signifikan sejak pemulihan permintaan pandemik bermula, dan perkara utama adalah berapa banyak minyak akan diperlukan untuk bekalan bagi memulakan tahun baharu,” kata Peter McNally, pakar analisis di Third Brigde.

    Selepas menerima desakan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran, ahli-ahli utama iaitu AS, China, India dan Jepan minggu lalu mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan simpanan strategiknya bagi membantu mengurangkan harga minyak mentah, selepas lonjakan yang memberi kesan kepada pemulihan ekonomi.

    Biden menggelarnya ‘inisiatif utama’, dengan para penganalisis menganggarkan suntikan antara 65 dan 80 juta tong, termasuk 50 juta daripada AS.

    Namun langkah itu tidak membuahkan hasil yang diingini, dengan harga terus meningkat – disusuli dengan harga lembap disebabkan oleh kemunculan varian baharu COVID-19, Omicron.

    Varian baharu yang dikesan itu menyebabkan harga minyak mentah menjunam lebih 10 peratus, kali pertama sejak penurunan pada April 2020.

    Carsten Fritsch dari Commerzbank berkata, “OPEC+ tidak akan meningkatkan pengeluaran minyak” dalam usaha untuk mengekalkan harga semasa iaitu AS$70 satu tong.

    Keputusan sedemikian adalah sejajar dengan pendekatan berhati-hati sejak negara-negara OPEC+ mula meningkatkan bekalan secara perlahan-lahan.

    Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, memberi amaran pada penghujung Oktober mengenai sikap mudah berpuas hati.

    Kumpulan itu berkata awal bulan ini bahawa ia merancang untuk menambah pengeluaran kepada 400,000 tong sehari pada Disember, walaupun terdapat ruang untuk mengeluarkan 10 kali ganda lebih tinggi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda