Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    OPEC akan bincang lanjut pengurangan, kuota hasil keluaran

    ABU DHABI, 25 Sept – Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan membincangkan pelanjutan pengurangan hasil keluaran yang telah merangsang harga minyak dan mengenakan kuota pengeluaran ke atas anggota kumpulan pada mesyuarat November nanti di Vienna, kata menteri Emiriah hari ini.

    Menteri Tenaga Emiriah Arab Bersatu (UAE), Suheil al-Mazrouei berkata pasaran minyak kembali seimbang selepas pengeluar minyak negara OPEC dan bukan OPEC bersetuju untuk mengurangkan hasil pengeluaran dalam perjanjian bersejarah tahun lalu.

    Perjanjian itu telah merangsang harganya, yang pada masa ini berharga sekitar AS$55 setong, kata menteri.

    “Mesyuarat OPEC akan datang membincangkan sama ada, adanya keperluan untuk melanjutkan perjanjian pengurangan hasil keluaran dan berapa lama,” kata Mazrouei kepada wartawan.

    Pengeluar minyak mentah utama – negara OPEC dan bukan OPEC – bersetuju lewat tahun lalu untuk mengurangkan pengeluaran kira-kira 1.8 juta setong sehari selama enam bulan.

    Persetujuan itu telah dilanjutkan dengan tambahan sembilan bulan sehingga Mac 2018. “Mesyuarat itu juga akan membincangkan untuk memasukkan pengeluar baru kepada perjanjian pengurangan itu,” kata menteri.

    Mazrouei berkata OPEC juga akan membincangkan untuk mengenakan sistem kuota kepada negara-negara yang sejauh ini telah dikecualikan. Anggota OPEC iaitu Libya, Iran dan Nigeria telah dikecualikan dalam perjanjian pada masa ini.

    Katanya, Emiriah Arab Bersatu, pengeluar keempat terbesar OPEC sekitar 2.7 juta tong sehari, telah ‘mengurangkan 10 peratus daripada hasil keluarannya dalam masa dua bulan lalu’ dan bersedia untuk melakukan lebih banyak usaha lagi bagi merangsang pasaran.

    Pasaran minyak seimbang semula ketika paras inventori dan bilangan pelantar penggerudian menurun, kata Mazrouei. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda