Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    OPEC+ dijangka setuju pertingkatkan pengeluaran minyak

    LONDON, 2 NOV – Arab Saudi, Rusia dan enam lagi anggota utama pakatan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka bersetuju untuk meningkatkan lagi pengeluaran minyak dalam mesyuarat maya hari ini, ketika kumpulan itu terus berusaha merebut lebih banyak bahagian pasaran global.
     
    Penganalisis juga meramalkan peningkatan kecil dalam pengeluaran apabila lapan negara pengeluar minyak yang dikenali sebagai Voluntary Eight (V8) bermesyuarat dalam talian. Sejak April, kumpulan V8, yang terdiri daripada Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman, telah menambah pengeluaran sebanyak kira-kira 2.7 juta tong sehari secara keseluruhan.
     
    Emily Ashford, penganalisis tenaga di Standard Chartered, menjangkakan peningkatan pengeluaran sebanyak 137,000 tong sehari mulai Disember, selaras dengan keputusan bulan lalu.
     
    OPEC+ telah mempercepat penambahan pengeluaran pada kadar yang tidak dijangka pada awal tahun ini, selepas tempoh panjang langkah pemotongan pengeluaran dilaksanakan untuk mengekang kejatuhan harga minyak.
     
    Namun dengan persaingan semakin meningkat, khususnya daripada pengeluar minyak mentah Amerika Syarikat (AS), memperoleh bahagian pasaran lebih besar kini menjadi keutamaan utama kumpulan itu.
     
    Perubahan strategi tersebut “berjaya pada tahap tertentu,” kata Ole Hvalbye, penganalisis komoditi di bank SEB. Pengeluaran minyak mentah AS “tidak lagi meningkat, sebaliknya mendatar,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa pelaburan dalam pengeluaran baharu di AS semakin berkurang. Seperti bulan-bulan sebelumnya, kumpulan V8 dijangka merujuk kepada “inventori minyak global yang rendah” sebagai alasan untuk menambah kuota pengeluaran.
     
    Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), inventori minyak mentah di AS mencatat penurunan ketara baru-baru ini, membolehkan harga minyak Brent, penanda aras global, kekal sekitar AS$65 setong. – AFP
     
    Vladimir Putin berjabat tangan dengan Setiausaha Agung OPEC, Haitham Al Ghais, semasa Forum Ekonomi Antarabangsa Saint Petersburg (SPIEF) di Saint Petersburg pada 20 Jun lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda