Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    OPEC pertimbang lanjut tempoh pemotongan

    VIENNA, 29 NOV – Kelab pengeluar minyak OPEC dan sekutunya akan mengadakan perjumpaan maya esok dan Selasa untuk memuktamadkan jangkaan perlanjutan pemotongan pengeluaran memandangkan wabak koronavirus terus menjejaskan permintaan global.

    Mesyuarat itu diadakan ketika industri minyak berharap dapat mencapai hasil lebih baik pada tahun penuh dengan cabaran yang menyaksikan persatuan pengeluar antarabangsa terpaksa melakukan pemotongan drastik sebagai tindak balas terhadap permintaan yang tercetus oleh wabak tersebut. Negara anggota kini berusaha untuk mengelak harga minyak terus menjunam seperti yang berlaku pada April lalu.

    Menurut kesepakatan yang dicapai pada bulan itu, pengurangan 7.7 juta tong sehari (bpd) ketika ini akan berkurang menjadi 5.8 juta tong sehari pada Januari 2021, tetapi kebanyakan pemerhati mengharapkan ia terus dilanjutkan antara tiga hingga enam bulan.

    Pemain utama dalam kumpulan tersebut telah memberi gambaran dalam beberapa minggu terakhir bahawa langkah seperti itu mungkin terjadi walaupun terdapat berita positif mengenai pengembangan vaksin menentang virus oleh beberapa syarikat farmasi.

    AstraZeneca, Pfizer/BioNTech dan Moderna telah berkongsi hasil percubaan yang menggembirakan dari calon vaksin mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini, yang memberikan harapan bagi permintaan global.

    Sementara menantikan keberkesanan vaksin dalam jangka masa yang lebih panjang, OPEC dan sekutunya akan menumpukan perhatian dalam sektor ini dari segi pasaran harga pada suku pertama dan mungkin suku kedua 2021.

    Walaupun perlanjutan pengurangan merupakan senario yang mungkin dilakukan untuk mengimbangi permintaan, bagaimanapun pada kebiasaannya terdapat perselisihan di antara 23 buah negara yang terlibat.

    Pada pertengahan November lalu, Emiriah Arab Bersatu menunjukkan keengganan terhadap prospek untuk menerapkan pemotongan sepenuhnya pada akhir tahun ini. – AFP

    Mesyuarat OPEC akan diadakan hari ini ketika industri minyak berharap dapat mencapai hasil yang lebih baik ketika berdepan dengan krisis pandemik COVID-19. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda