LONDON, 4 JAN – Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya hari ini dijangka akan kekal meningkatkan pengeluaran minyak secara sederhana ketika penularan pantas varian Omicron setakat ini tidak menjejaskan permintaan dengan teruk.
Kumpulan OPEC+, yang merangkumi pengeluar terbesar Arab Saudi dan Rusia, berjaya mengelak tekanan untuk meningkatkan pengeluaran ketika harga tenaga meningkat disebabkan inflasi di seluruh dunia.
Sebanyak 13 ahli OPEC dan 10 rakannya secara drastik mengurangkan pengeluaran pada 2020 ketika pandemik menjejaskan permintaan.Tahun lalu mereka memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran ketika harganya kembali pulih, sementara menilai situasi setiap bulan.
Persidangan video akan bermula hari ini diikuti dengan perbincangan teknikal. Penganalisis menjangkakan kumpulan itu untuk meningkatkan pengeluaran kepada 400,000 tong sehari pada Februari.
Mereka meluluskan satu lagi peningkatan pada perjumpaan bulan Disember walaupun dengan kemunculan Omicron, yang mengakibatkan harga menjunam.
“Sejak perjumpaan OPEC+ bulan lalu, harga minyak mentah kembali pulih, menunjukkan pasaran dilihat kurang bimbang mengenai varian Omicron menjejaskan permintaan minyak mentah,” pakar strategik tenaga UBS, Giovanni Staunovo memberitahu AFP. – AFP