VIENNA, 4 JUN – Terdapat tanda-tanda yang semakin meningkat bahawa pengeluar minyak utama yang diketuai oleh Arab Saudi dan Rusia sedang mempertimbangkan untuk terus mengurangkan pengeluaran apabila mereka bertemu hari ini dalam usaha untuk menstabilkan harga minyak.
13 anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan berunding dengan 10 negara pengeluar minyak lain, termasuk Rusia, untuk mengkaji semula dasar pengeluaran masa depan kumpulan itu.
Mesyuarat OPEC+ secara bersemuka berlangsung dari 0800 GMT hari ini di Vienna.
Penganalisis sebelum ini menjangkakan pengeluar OPEC+ akan mengekalkan dasar semasa mereka, tetapi tanda-tanda muncul kelmarin bahawa keputusan itu mungkin tidak mencukupi untuk menstabilkan pasaran minyak dengan secukupnya.
Pada April, beberapa ahli OPEC+ bersetuju untuk secara sukarela mengurangkan pengeluaran sebanyak lebih satu juta tong sehari (bpd), satu langkah mengejut yang mengukuhkan harga minyak, tetapi gagal memberikan pemulihan yang berkekalan.
Pengeluar minyak sedang bergelut dengan penurunan harga dan turun naik pasaran yang tinggi di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang telah menjejaskan ekonomi di seluruh dunia.
Kebanyakan delegasi kekal menutup mulut atau enggan mengulas mengenai keputusan dasar ketika mereka tiba di ibu negara Austria untuk mesyuarat kelmarin.
Penganalisis berbalah pendapat sama ada pihak-pihak berpengaruh seperti Riyadh dan Moscow akan mengekalkan kumpulan itu mengikut dasar pengeluaran semasanya atau mengurangkan pengeluaran lebih lanjut.
Pengurangan pengeluaran sebanyak 700,000 bpd kepada satu juta bpd adalah salah satu pilihan yang sedang dibincangkan, sumber yang rapat dengan perbincangan memberitahu AFP, menegaskan bahawa tiada keputusan yang ditetapkan. – AFP


