NEW YORK, 4 OGOS — Sekumpulan negara dalam pakatan pengeksport minyak OPEC+ telah bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak, satu langkah yang dipercayai dapat menurunkan harga minyak dan petrol, dengan mengambil kira prospek ekonomi global yang stabil dan tahap inventori minyak yang rendah.
Kumpulan tersebut mengadakan mesyuarat secara maya kelmarin dan mengumumkan lapan negara ahli akan meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 547,000 tong minyak sehari pada bulan September.
Negara-negara yang terlibat dalam peningkatan pengeluaran termasuk Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman.
Negara-negara tersebut sebelum ini turut terlibat dalam pemotongan pengeluaran secara sukarela yang bermula pada November 2023 dan dijadualkan berakhir secara berperingkat menjelang September 2026.
Pengumuman itu sekali gus menandakan pemotongan secara sukarela yang akan ditamatkan lebih awal daripada jadual asal.
Langkah itu disusuli oleh keputusan OPEC+ pada Julai untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 548,000 barrel sehari bagi bulan Ogos.
OPEC turut menyatakan pelarasan pengeluaran boleh dihentikan atau dibalikkan bergantung pada keadaan pasaran semasa.
Apabila pengeluaran meningkat, harga minyak dan petrol mungkin akan menurun.
Namun, minyak mentah Brent, penanda aras global, masih didagangkan hampir AS$70 setong, yang menurut firma penyelidikan Clearview Energy Partners mungkin disebabkan potensi kehilangan bekalan minyak Rusia di pasaran dan peningkatan besar dalam inventori minyak mentah di China.
OPEC turut memaklumkan, lapan negara tersebut akan bermesyuarat semula pada 7 September. – AP


