Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Sempena memperingati 67 tahun penubuhan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pagi tadi menganjurkan Program Masjid Open Day yang diadakan di perkarangan masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang seterusnya merasmikan program berkenaan.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada masyarakat umum, pelancong dan generasi muda mengenali lebih dekat masjid yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai pusat penyebaran ilmu dan pengukuhan ukhuwah Islamiah.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menarik penglibatan masyarakat termasuk kanak-kanak, golongan belia dan pelancong dalam aktiviti masjid serta memperkenalkan seni, budaya dan warisan Islam melalui pelbagai acara seperti persembahan dikir dan tausyeh serta pertunjukan silat yang diadakan di luar perkarangan masjid.
Program yang berlangsung hingga sebelah petang itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk lawatan masjid, sesi mendengarkan laungan azan dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, demonstrasi tatacara sembahyang dan berwuduk, aktiviti mewarna bertemakan masjid dan seni Islam, tayangan video mengenai sejarah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien serta pameran seni kaligrafi khat.




