Sunday, July 13, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    OpenAI bakal buka pejabat baharu di Seoul

    SEOUL, 26 MEI – Syarikat kecerdasan buatan (AI) dari Amerika Syarikat (AS), OpenAI, mengumumkan rancangan untuk membuka pejabat pertamanya di Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha peluasan infrastruktur AI globalnya yang berterusan, lapor agensi berita Yonhap.

    Ketua Pegawai Strategi OpenAI, Jason Kwon berkata syarikat itu secara rasmi telah menubuhkan unit di Korea dan akan membuka pejabat di bandar itu tidak lama lagi.
    “Pejabat antarabangsa kami yang seterusnya akan dibuka di Seoul.

    “Kami akan membukanya dalam beberapa bulan akan datang dan memulakan pengambilan pasukan tempatan bagi memajukan usaha kami serta menyokong pengguna, pelanggan dan rakan kongsi tempatan,” kata Kwon kepada pemberita hari ini.

    Pejabat di Seoul akan menjadi pejabat ketiga OpenAI di Asia selepas Tokyo dan Singapura.
    Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi global OpenAI, yang menyaksikan syarikat itu membuka 11 pejabat antarabangsa di bandar-bandar utama, termasuk Paris, Brussels, London, Dublin dan Tokyo.

    OpenAI, pengendali chatbot AI popular ChatGPT, telah pun menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat utama Korea Selatan termasuk Kakao Corp, Krafton Inc dan syarikat telekomunikasi mudah alih SK Telecom Co dalam bidang pembangunan AI dan infrastruktur data.

    Kwon berkata Korea Selatan dipilih sebagai negara rakan kongsi utama kerana tahap penglibatan yang tinggi dengan platform OpenAI.

    “Korea Selatan berada dalam kelompok 10 negara teratas dari segi jumlah pengguna ChatGPT dan pembangun yang menggunakan platform OpenAI,” katanya sambil menambah bahawa negara itu juga mempunyai bilangan pelanggan ChatGPT berbayar kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

    “Rakyat Korea bukan sekadar pengguna awal ChatGPT – mereka turut membentuk cara penggunaannya di seluruh dunia,” katanya. “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan organisasi Korea bagi mengaplikasikan teknologi AI yang canggih.” -Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda