SEOUL, 4 FEB – Ketua OpenAI, Sam Altman, menandatangani perjanjian dengan gergasi teknologi Kakao di Korea Selatan hari ini ketika syarikat Amerika Syarikat (AS) itu mencari pakatan baharu selepas kemunculan pesaing dari China, DeepSeek, yang mengejutkan industri kecerdasan buatan (AI) global.
Kakao, yang memiliki bank dalam talian, aplikasi panggilan teksi terbesar di Korea Selatan dan perkhidmatan pesanan, mengumumkan kerjasama yang membolehkan mereka menggunakan ChatGPT untuk perkhidmatan AI baharu, menyertai pakatan global yang diketuai oleh OpenAI di tengah persaingan yang semakin sengit dalam sektor itu.
“Kami teruja untuk membawa kecanggihan AI kepada jutaan pengguna Kakao dan bekerjasama untuk mengintegrasikan teknologi kami ke dalam perkhidmatan yang mentransformasikan cara pengguna Kakao berkomunikasi dan berhubung,” kata Altman.
“Kakao mempunyai pemahaman mendalam tentang bagaimana teknologi boleh memperkaya kehidupan seharian,” tambahnya.
CEO Kakao, Shina Chung menyatakan bahawa syarikat itu ‘teruja’ untuk menjalin kerjasama strategik dengan OpenAI.
Syarikat Altman adalah sebahagian daripada projek Stargate yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump, untuk melabur sehingga AS$500 bilion dalam infrastruktur AI di AS.
Namun, kemunculan DeepSeek sebagai pendatang baharu dalam dunia AI telah mencetuskan kekecohan di Silicon Valley, dengan beberapa pihak menganggap prestasi tinggi dan kos rendah yang didakwa oleh DeepSeek sebagai satu peringatan kepada pebcipta AS.
Dalam satu pertemuan tertutup dengan pencipta AI Korea Selatan, Altman mengakui bahawa OpenAI ‘belum menemui strategi’ untuk bertindak balas terhadap DeepSeek.
Namun beliau berkata ‘sudah pasti adanya ruang untuk sumber terbuka.’ – AFP