Friday, May 9, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    OpenAI kekal sebagai pertubuhan bukan untung

    Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, pada 5 Mei mengumumkan bahawa syarikat di sebalik ChatGPT akan kekal sebagai pertubuhan bukan untung, selepas membatalkan rancangan kontroversi untuk menjadi syarikat berasaskan keuntungan. – AFP

    SAN FRANCISCO – Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, mengumumkan bahawa syarikat di sebalik ChatGPT akan terus dikendalikan sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, sekali gus membatalkan rancangan kontroversi untuk beralih kepada entiti berasaskan keuntungan.

    Keputusan itu hadir selepas perdebatan panjang yang melibatkan pelabur utama yang mahu OpenAI menjadi syarikat keuntungan bagi menjamin pulangan modal, namun menerima tentangan hebat daripada pengkritik kecerdasan buatan (AI) yang bimbang kesan teknologi berkuasa tinggi itu jika tidak diselia lembaga amanah bebas dan berkecuali.

    “Kami membuat keputusan agar pengurusan kekal di bawah entiti bukan untung selepas mendengar pandangan pemimpin masyarakat dan berbincang dengan pejabat Peguam Negara California dan Delaware,” kata Altman menerusi e-mel kepada kakitangan yang disiarkan di laman web syarikat.

    OpenAI ditubuhkan sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan pada 2015, namun kemudiannya menubuhkan cabang keuntungan terhad bagi membenarkan pulangan pelaburan pada kadar tertentu.

    Di bawah pelan penstrukturan semula yang diumumkan tahun lalu, OpenAI dijangka berubah menjadi sebuah syarikat keuntungan sepenuhnya dalam bentuk public benefit corporation (PBC) bagi menarik pelaburan berbilion dolar. Namun, pelan itu dikritik hebat oleh aktivis keselamatan AI dan juga pengasas bersama, Elon Musk, yang telah meninggalkan syarikat itu pada 2018 dan kemudian memfailkan saman terhadapnya kerana didakwa menyeleweng daripada prinsip asal penubuhan.

    Paling penting, pelan itu memerlukan kelulusan kerajaan negeri California dan Delaware, tempat syarikat ini berpangkalan dan berdaftar.

    Di bawah rancangan baharu ini, cabang keuntungan OpenAI akan diberi ruang untuk menjana keuntungan secara penuh, namun kekal tertakluk kepada pengawasan lembaga pertubuhan bukan untung.

    “Kami percaya langkah ini membolehkan kami terus maju dengan pantas dan selamat, serta membawa teknologi AI hebat kepada semua,” kata Altman.

    OpenAI, yang diketuai Altman, telah menjadi salah satu syarikat pemula paling berjaya dalam sejarah Lembah Silikon, melonjak ke perhatian dunia pada 2022 menerusi pelancaran ChatGPT.

    Struktur korporatnya tergugat pada akhir 2023 apabila lembaga pengarah secara mengejut memecat Altman. Namun, tindak balas kakitangan membawa kepada pelantikannya semula, manakala individu yang terlibat dalam pemecatannya meninggalkan syarikat.

    Susulan krisis itu, pelabur baharu mendesak OpenAI menjadi syarikat keuntungan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda