SAN FRANCISCO, 1 OKT – OpenAI kelmarin melancarkan Sora 2, model penjanaan video tercanggih syarikat itu, bersama aplikasi sosial baharu berkonsepkan gaya TikTok yang membolehkan pengguna muncul dalam adegan ciptaan kecerdasan buatan (AI) melalui ciri yang dinamakan ‘cameos’.
OpenAI, pencipta ChatGPT, menyifatkan Sora 2 sebagai satu kemajuan besar dalam keupayaan AI menghasilkan video realistik, termasuk dialog, kesan bunyi dan pergerakan fizikal yang lebih tepat.
“Sora 2 mampu melakukan perkara yang sebelum ini sangat sukar malah mustahil untuk model penjanaan video terdahulu,” kata syarikat itu, merujuk contoh seperti rutin gimnastik Olimpik dan gerakan bola keranjang.
Tidak seperti sistem sebelum ini yang sering ‘merubah objek dan menjejas bentuk realiti’ untuk memenuhi input teks, Sora 2 lebih baik mengikuti fizik dunia sebenar, kata syarikat itu.
Sora 2 menggantikan versi asal yang dikeluarkan tahun lalu, sekali gus menandakan episod baharu dalam ‘perlumbaan AI’ yang tercetus sejak pelancaran ChatGPT pada 2022.

Dalam bidang penjanaan video, OpenAI bersaing rapat dengan Google, Runway AI dan Midjourney yang turut menawarkan aplikasi menghasilkan klip pendek dalam beberapa saat, teknologi yang dipuji sebagai inovatif, tetapi pada masa sama menimbulkan kebimbangan berhubung potensi menggantikan kandungan ciptaan manusia.
Lebih mengejutkan, menurut pemerhati industri, adalah kehadiran aplikasi sosial kendiri yang dikenali sebagai Sora.
Platform itu membolehkan pengguna tampil dalam video AI dengan ketepatan tinggi dari segi rupa dan suara.
“Kami percaya aplikasi sosial berasaskan ciri cameos ini adalah cara terbaik untuk mengalami keajaiban Sora 2,” kata OpenAI.
Buat masa ini, aplikasi tersebut hanya ditawarkan melalui jemputan di Amerika Syarikat dan Kanada.
Penjana video Sora 2 pula boleh digunakan secara percuma dengan had penggunaan tertentu berikutan kekangan kuasa pengkomputeran yang tinggi. – AFP

