SAN FRANCISCO, 17 JUN – OpenAI telah dianugerahkan kontrak bernilai AS$200 juta oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DoD) untuk membangunkan keupayaan kecerdasan buatan generatif (AI) bagi kegunaan ketenteraan.
Menurut kenyataan rasmi DoD, kontrak itu bertujuan untuk membangunkan prototaip AI hadapan bagi menangani cabaran keselamatan negara yang kritikal dalam domain peperangan dan pentadbiran.
OpenAI – yang berpangkalan di San Francisco – menyatakan bahawa itu merupakan projek pertama di bawah inisiatif mereka untuk menerapkan AI dalam sektor kerajaan.
Dalam satu hantaran rasmi, OpenAI menyatakan bahawa teknologi AI mereka akan digunakan untuk meningkatkan operasi pentadbiran termasuk sistem penjagaan kesihatan anggota tentera serta mempertingkatkan pertahanan siber.
Syarikat itu menegaskan bahawa semua penggunaan AI dalam sektor ketenteraan akan mengikut garis panduan etika penggunaan yang telah ditetapkan oleh OpenAI sendiri.
Kini semakin ramai gergasi teknologi besar – termasuk Meta, OpenAI dan syarikat berpaksikan pertahanan seperti Palantir – memasarkan teknologi mereka kepada tentera Amerika, satu perkembangan yang mencerminkan pergeseran strategik Silicon Valley.
OpenAI juga telah bekerjasama dengan Anduril Industries, syarikat pertahanan teknologi tinggi yang diasaskan oleh bilionair konservatif Peter Thiel, untuk membangunkan sistem AI yang mampu menangani ancaman dron udara tanpa pemandu.
Ketua Eksekutif OpenAI, Sam Altman, sebelum ini menyatakan bahawa syarikatnya “membangunkan AI demi manfaat seramai mungkin manusia dan menyokong usaha yang diketuai AS bagi memastikan teknologi ini menjunjung nilai demokrasi.” – AFP
