TOKYO, 6 OKT – Syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), OpenAI, kini memperketatkan kawalan terhadap kandungan berhak cipta dalam model penjanaan video terbaharu mereka, Sora 2, selepas pengguna mencipta klip hiper-realistis yang meniru watak daripada siri popular seperti South Park dan Pokemon.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, berkata langkah itu memberi kuasa lebih besar kepada pemegang hak cipta untuk menghentikan salinan watak atau kandungan mereka yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI).
OpenAI, yang turut mengendalikan platform ChatGPT, kini berdepan beberapa tuntutan mahkamah berkaitan pelanggaran hak cipta, termasuk satu kes besar yang difailkan oleh The New York Times.
Isu hak cipta menjadi perhatian umum sejak Mac lalu apabila penjana imej ChatGPT mencetuskan limpahan gambar gaya Studio Ghibli, studio animasi terkenal Jepun.
Kurang seminggu selepas pelancaran Sora 2 pada 1 Oktober dengan aplikasi serupa TikTok yang membolehkan pengguna memasukkan diri mereka ke dalam adegan ciptaan AI, Altman mengumumkan syarikat akan mengetatkan dasar penggunaan watak berhak cipta.
“Kami akan memberikan pemegang hak cipta kawalan lebih terperinci terhadap penjanaan watak,” katanya dalam catatan blog pada Jumaat lalu.
“Ia akan sama seperti model pilihan ‘opt-in’ bagi peniruan wajah, tetapi dengan kawalan tambahan,” tambahnya.
Menurut laporan The Wall Street Journal pada September, OpenAI akan memerlukan pemegang hak cipta seperti studio filem untuk memilih keluar (opt-out) jika tidak mahu karya mereka muncul dalam video yang dijana Sora 2.
Selepas pelancaran aplikasi Sora 2 yang kini hanya melalui jemputan, alat itu dilaporkan menolak permintaan untuk menjana video berunsurkan watak Disney atau Marvel, menurut beberapa pengguna.
Namun, klip memaparkan watak daripada francais AS lain serta watak Jepun daripada siri permainan dan anime popular tetap tersebar meluas. Antara yang paling tular ialah klip AI menampilkan Pikachu daripada Pokemon dalam parodi filem, serta watak Super Mario dan Sonic the Hedgehog. – AFP


