PARIS, 9 OKT – Syarikat California, OpenAI, yang menghasilkan chatbot kecerdasan buatan (AI) generatif ChatGPT, berkata hari ini ia sedang memperluaskan capaian globalnya dengan membuka empat pejabat baharu.
Firma itu, yang baru-baru ini menerima suntikan wang besar daripada pelabur termasuk Microsoft dan gergasi cip Nvidia, menyatakan ia akan membuka tapak baharu di Paris, Brussels, Singapura dan New York.
Ia telah pun membuka pejabat di London dan satu lagi di Dublin.
Pelancaran awam ChatGPT pada akhir 2022 mendorong firma tersebut menjadi tumpuan global.
ChatGPT membolehkan pengguna menghasilkan dokumen teks seakan-akan manusia daripada arahan perbualan yang mudah.
OpenAI juga menghasilkan program yang mengeluarkan imej dan sedang membangunkan penjana video.
Firma itu berjaya mengumpul AS$6.6 bilion tunai dan memperoleh talian kredit AS$4 bilion awal bulan ini, sekali gus menambah nilainya kepada AS$157 bilion. – AFP