Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    OpenAI umum bantu negara bina sistem AI

    SAN FRANCISCO, 8 MEI – OpenAI kelmarin mengumumkan inisiatif untuk membantu negara-negara membina infrastruktur kecerdasan buatan (AI) mereka sendiri, dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menjadi rakan kongsi dalam projek-projek tersebut.

    Tindakan firma teknologi dari San Francisco itu untuk meletakkan teknologinya di tengah-tengah platform AI negara di seluruh dunia datang ketika ia berdepan dengan persaingan daripada pesaing China, DeepSeek.

    Kejayaan DeepSeek dalam menyediakan model AI berkuasa pada kos yang lebih rendah telah menggemparkan Lembah Silikon dan menambah desakan agar teknologi besar AS melindungi dominasi mereka dalam teknologi yang sedang berkembang ini.

    “Sudah jelas bagi semua orang bahawa infrastruktur jenis ini akan menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi masa depan dan pembangunan negara,” kata OpenAI dalam satu catatan blog.

    “Ini adalah detik di mana kita perlu bertindak untuk menyokong negara-negara di seluruh dunia yang lebih suka membina AI berdasarkan prinsip demokratik dan menyediakan alternatif yang jelas kepada versi AI autoritarian yang akan menggunakannya untuk mengukuhkan kuasa.”

    Logo OpenAI dipaparkan pada telefon bimbit dengan imej pada monitor komputer yang dijana oleh model teks-ke-imej Dall-E ChatGPT, pada 8 Disember 2023, di Boston. – AP

    Inisiatif OpenAI for Countries dilancarkan di bawah naungan projek Stargate yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk melabur sehingga AS$500 bilion dalam infrastruktur AI di AS.

    “Kami telah menerima permintaan daripada banyak negara yang meminta bantuan untuk membina infrastruktur AI yang serupa,” kata OpenAI.

    Sebagai tindak balas kepada kerajaan-kerajaan yang berminat ini, OpenAI menawarkan satu bentuk kerjasama baharu untuk Era Kecerdasan.

    OpenAI, dengan ‘koordinasi’ bersama kerajaan AS, akan membantu negara-negara membina pusat data dan menyediakan versi khusus ChatGPT yang disesuaikan dengan bahasa dan budaya tempatan bertujuan meningkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan awam, menurut firma teknologi tersebut.

    Projek-projek ini akan melibatkan ‘modal tempatan serta modal OpenAI’.

    Negara rakan kongsi akan melabur dalam Projek Stargate yang lebih luas untuk memperluas “kepimpinan AI yang diterajui AS,” kata OpenAI. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda