Monday, October 28, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Badai Taduh bantu mangsa ribut Filipina

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Pertahanan, telah menghantar sepasukan misi bantuan kemanusiaan ke Manila, Republik Filipina, di bawah ‘Operasi Badai Taduh’.

    Penghantaran misi bantuan berkenaan adalah berikutan daripada Ribut Tropika Kristine (TRAMI) yang melanda negara tersebut minggu lalu dan telah mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh serta menjejaskan puluhan ribu penduduk.

    Upacara pemergian Pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana telah diadakan di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba, kelmarin.

    Hadir di upacara tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Pasukan pertama seramai 17 orang anggota yang diketuai oleh Leftenan Kolonel (U) Mohammad Azmi bin Haji Afflon telah berlepas dengan menaiki pesawat C295MW Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

    Sementara itu, pasukan kedua seramai 20 orang anggota pula akan dijadualkan berlepas esok, 29 Oktober dengan menaiki pesawat Blackhawk S-70i.

    Misi Operasi Badai Taduh akan memberikan bantuan logistik udara daripada Lapangan Antarabangsa Manila ke kawasan-kawasan yang terjejas di Republik Filipina.

    Negara Brunei Darussalam khususnya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan memberikan bantuan pengangkutan udara bagi bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) di Republik Filipina dengan menggunakan sebuah pesawat C295MW Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

    Manakala dua buah pesawat Blackhawk S70i pula akan digunakan bagi mengangkut bekalan utama termasuk makanan dan air yang disediakan oleh Kerajaan Republik Filipina ke kawasan-kawasan penduduk yang sukar dicapai.

    Terdahulu, Majlis Doa Selamat telah diadakan selepas sembahyang Fardhu Zuhor berjemaah diikuti dengan sembahyang Sunat Hajat bagi memohon perlindungan, rahmat, dan keberkatan untuk anggota-anggota yang terlibat sepanjang misi bantuan bencana tersebut.

    Turut hadir di upacara pemergian pasukan berkenaan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Jawatankuasa Eksekutif ABDB, serta Setiausaha Ketiga dari Kedutaan Besar Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Jacqueline L. Ong.

    Hadir sama, pengarah-pengarah Kementerian Pertahanan, pemangku pengarah Asia/Timur Kementerian Hal-Ehwal Luar Negeri, Atase Pertahanan, Angkatan Tentera Republik Filipina, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ahli-ahli keluarga anggota-anggota ABDB yang menyertai misi bantuan kemanusian.

    Operasi berkenaan mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh hubungan serantau serta menyumbang kepada kebajikan masyarakat melalui bantuan segera dan usaha pemulihan dengan tujuan untuk meringankan penderitaan mangsa-mangsa bencana, memastikan keselamatan dan keperluan asas diberi keutamaan dan menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap kestabilan dan kerjasama serantau seperti yang digariskan dalam  Kertas Putih Pertahanan 2021.

    Negara Brunei Darussalam turut menzahirkan rasa takziah dan simpati kepada Kerajaan dan rakyat Republik Filipina, khususnya kepada mangsa-mangsa dan keluarga yang terjejas akibat taufan tersebut.

    Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi semasa upacara berkenaan.
    Pasukan pertama membaca doa sebelum berlepas.
    Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bersalaman dengan ahli pasukan berkenaan.
    Sesi bergambar ramai Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bersama pasukan berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara ahli keluarga anggota yang hadir.

    Sebahagian anggota pasukan memasuki pesawat untuk berlepas.GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI        
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda