Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi banjir: 2,000 anggota APM diatur gerak ke Sabah, Sarawak

    KAJANG, 10 MAC – Seramai 2,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di negeri Sabah dan Sarawak terlibat dalam kerja menyelamat dan membantu penduduk yang terjejas banjir.

    Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata keadaan banjir di Sabah dan Sarawak masih mampu dikawal oleh anggota sedia ada di dua negeri tersebut.

    “Setakat ini, tiada keperluan untuk menghantar anggota tambahan kerana bilangan sedia ada sudah mencukupi. Namun, jika keadaan memerlukan, keputusan lanjut akan dipertimbangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Bulan Pertahanan Awam dan perasmian Wacana Nasional: Struktur dan Hala Tuju Kesukarelawanan Malaysia yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Institut Semarak Felda, di sini hari ini.

    Pada majlis berkenaan, Aminurrahim turut menyerahkan sijil pentauliahan Kol Bersekutu (PA) kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil.

    Gambar Bernama

    Turut diadakan, majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara APM bersama Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU) yang diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Kassim Noor Mohamed.

    Mengulas mengenai jumlah anggota APM yang aktif di seluruh negara, Aminurrahim berkata pihaknya mengesan seramai 15,300 anggota aktif melalui caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    Beliau berkata elaun bagi anggota lain-lain pangkat adalah sebanyak RM8 sejam, manakala pegawai menerima RM9.80 sejam.

    “Waktu penugasan bagi mereka yang bertugas di pejabat adalah sembilan jam sehari, untuk operasi lapan jam, manakala dalam situasi bencana, ia boleh mencecah 16 jam sehari,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda