Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi bersepadu bongkar pelbagai kesalahan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Pelbagai kesalahan melibatkan undang-undang lalu lintas, penyalahgunaan dadah, pemilikan rokok tanpa permit, pelanggaran peraturan buruh dan kesalahan di bawah undang-undang syariah telah dikesan semasa operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar ibu negara baru-baru ini.

    Operasi berkenaan melibatkan seramai 227 orang pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan dan agensi penguat kuasa, yang diketuai oleh Daerah Polis Brunei Muara (DPBM) dan Unit Pemerdagangan Manusia, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain iaitu Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Buruh, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Bandaran serta Bahagian Penguat kuasa Ugama (BPU).

    Sasaran operasi tertumpu kepada sekatan jalan raya serta pemeriksaan di beberapa buah bangunan di sekitar Bandar Seri Begawan.

    Hasil daripada operasi berkenaan, PPDB telah mengeluarkan lima kesalahan lalu lintas kompaun (Polis 214) dan lima peringatan (Polis 190). Sebuah kenderaan turut dikesan membawa pelbagai jenama rokok dan minuman keras, dan telah diserahkan kepada pihak JKED untuk tindakan lanjut. Tiada kesalahan lain dikesan di bawah peruntukan undang-undang semasa pemeriksaan dijalankan di beberapa buah bangunan yang diperiksa.

    Sementara itu, BKN menahan seorang lelaki tempatan selepas didapati positif dadah jenis syabu di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27. Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat BKN bagi siasatan lanjut.

    Manakala Jabatan Buruh mendapati seramai 27 orang pekerja warga asing melakukan kesalahan di bawah Bab 86 Akta Buruh kerana menetap di tempat tinggal yang tidak diisytiharkan kepada jabatan berkenaan.

    BPU pula mendapati seorang wanita warganegara Malaysia beragama Islam memiliki sembilan botol dan 12 tin minuman mengandungi alkohol pelbagai jenis, dan telah diarahkan untuk siasatan lanjut di bawah Bab 104(4) Kanun Hukuman Syariah (Penggal 275).

    Sementara itu, JKED telah menahan tiga orang suspek kerana memiliki rokok tanpa permit yang sah di bawah Bab 146 Perintah Eksais 2006.

    Pegawai penguat kuasa dari Jabatan Buruh membuat pemeriksaan semasa operasi tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda