Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Beberapa kesalahan telah didapati semasa operasi bersepadu yang dijalankan oleh beberapa agensi penguatkuasaan ke atas beberapa buah premis perniagaan di Kampung Sungai Liang dan Kampung Lumut, Daerah Belait, baru-baru ini.
Operasi melibatkan Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Hasil operasi itu, dua notis amaran dan tiga kompaun berjumlah $500 dan $700 dikeluarkan terhadap empat buah premis perniagaan bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu menjual minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan kegagalan mempamerkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual.
Pihak penguat kuasa Unit SDT juga mendapati beberapa buah premis perniagaan tidak mempamerkan tanda berat bersih ke atas produk-produk berbungkus seperti sayur, buah, makanan kering dan barang mentah dan mempamerkan tanda berat yang tidak selaras sepertimana tanda berat yang tertera pada setiap bungkusan.
Hasil daripada operasi tersebut juga mendapati sebanyak 20 unit alat sukatan dan timbangan digunakan bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3 (1) dan (2).
Operasi berkenaan bertujuan untuk menguatkuasakan akta dan peraturan seperti Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 iaitu memastikan sebarang penggunaan alat sukatan dan timbangan bagi tujuan perdagangan hendaklah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT, dan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu bagi barangan yang dikawal harga di bawah akta berkenaan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan bagi barangan yang dijual untuk dipamerkan tanda harga dengan jelas dan tidak mengelirukan.
Pihak pengurusan dan pekerja-pekerja pembungkus juga telah dikongsikan tatacara membungkus dan menimbang dengan betul.


