Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi bersepadu ingatkan peniaga patuhi peraturan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Dalam satu operasi bersepadu baru-baru ini, sepuluh unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perdagangan di beberapa buah premis perniagaan di Daerah Temburong telah didapati sah, tepat dan berdaftar dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT).

    Pengesahan alat-alat berkenaan selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-lat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3 (1) dan (2).

    Pengesahan juga didapati semasa operasi bersepadu yang dijalankan secara bulanan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit SDT dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Selain itu, pihak JPES juga telah mengeluarkan dua notis amaran bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, iaitu menjual minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan kegagalan mempamerkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual.

    Para peniaga dan pengguna alat sukat dan timbang adalah dikehendaki untuk sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994; di bawah seksyen 3 (2); setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat untuk menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan ini adalah bersalah.

    Di samping itu, para peniaga juga diingatkan untuk sentiasa mempamerkan tanda harga dengan jelas dan betul, serta mengoptimakan aplikasi mudah alih, PenggunaBijak untuk mendapatkan harga maksimum terkini bagi barangan dikawal harga dan seterusnya memastikan barangan berkenaan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

    Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092 dan Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui Talian Darussalam 123 dan aplikasi mudah alih, PenggunaBijak atau e-mel, aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Semua di atas: Suasana sekitar operasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN UNIT SDT

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda