Thursday, January 30, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi bersepadu kompaun premis langgar peraturan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Sebuah premis perniagaan didapati menjual susu tepung formula anak damit melebihi harga maksimum yang ditetapkan, manakala dua buah premis perniagaan lagi tidak mempamerkan tanda harga dengan jelas.

    Disebabkan kesalahan-kesalahan tersebut, masing-masing telah dikenakan kompaun berjumlah $500 dan notis amaran turut dikeluarkan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) baru-baru ini.

    JPES dalam siaran akhbar yang dikeluarkan kelmarin menjelaskan, operasi bersepadu ini telah menekankan kepentingan amalan jualan dan promosi yang beretika.

    Operasi berkenaan bukan sahaja memastikan kepatuhan ke atas Peraturan Acara Harga Jualan Murah, tetapi juga menguatkuasakan Peraturan-peraturan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 (Penggal 151) yang memainkan peranan penting dalam menjaga kepentingan pengguna dan dalam mengamalkan perniagaan yang wajar.

    Premis-premis yang menyertai Brunei Salebration 2025 juga diingatkan untuk menjalankan jualan yang benar dengan mengikut terma dan syarat yang jelas dan telus bagi memastikan pengguna tidak terpedaya atau keliru semasa membuat keputusan pembelian.

    Sementara itu, pihak Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) telah mendapati 17 unit alat sukat dan timbang digunakan semasa operasi berkenaan dan didapati satu unit alat gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 (Penggal 151) iaitu menggunakan alat sukat dan timbang yang telah mansuh tempoh kebenaran pendaftaran yang dibenarkan.

    Pihak SDT telah mengeluarkan Notis Penyitaan dan alat tersebut telah disita serta pihak syarikat juga dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT mengikut tadahan alat didaftarkan dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan bagi memperbetulkan isu berkenaan.

    JPES dan Unit SDT secara berterusan menekankan kepentingan strategi jualan yang beretika dan telus.

    Sehubungan itu, peniaga juga disarankan untuk mengutamakan kejujuran dan maklumat yang jelas dalam aktiviti promosi mereka untuk meningkatkan keyakinan dan kepuasan pengguna di samping menyokong pasaran yang wajar untuk semua.

    Di samping itu, peniaga perlu memastikan alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli mempunyai pelekat pendaftaran dengan tempoh penggunaan yang masih sah.

    Pemeriksaan bersepadu berkenaan adalah aktiviti penguatkuasaan bulanan melibatkan JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna dan Unit SDT di bawah Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Operasi bersepadu bulanan bagi bulan Januari 2025 melibatkan premis-premis perniagaan di kawasan Seria, Daerah Belait.

    Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui saluran rasmi seperti di Akta Kawalan Harga, Penggal 142 : Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui Talian Darussalam 123, aplikasi PenggunaBijak dan emel aduanpengguna@jpes.gov.bn; dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 (Penggal 151) : Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan melalui emel sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092.

     Sekitar pemeriksaan yang dijalankan semasa operasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda