Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Bersih catat pelbagai kesalahan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Operasi Bersih yang dilaksanakan bersama dengan agensi-agensi penguat kuasa dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang dikendalikan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan telah mendapati beberapa kesalahan.

    Kesalahan pertama, bertindak atas aduan orang ramai, sebuah rumah sewa yang menempatkan pekerja-pekerja asing terletak di Kampung Katimahar didapati dalam keadaan kotor yang boleh mengancam kebersihan alam sekitar dan kawasan berdekatan.

    Operasi seterusnya turut mengeluarkan dua kompaun di bawah Akta Kesalahan Rampaian Bab 12 (1) kepada dua buah syarikat iaitu Syarikat Mansae Abadi dan Syarikat DSA Contractor, masing-masing sebanyak $2,000 di bawah Bab 12 (1)(f) dan (b) serta tiga individu dengan kompaun $500 bagi setiap seorang atas kesalahan yang sama.

    Operasi itu bertujuan memberikan kesedaran orang ramai mengenai betapa pentingnya menjaga kebersihan kawasan persekitaran sekali gus menyalurkan maklumat bahawa terdapat akta yang me-ngawal kebersihan di negara ini iaitu Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Pindaan 2021) Bab 12 (1).

    JKED juga mengeluarkan notis rampasan kepada tiga orang lelaki warga Indonesia kerana memiliki rokok dan vape yang merupakan kesalahan di bawah Bab 146 Perintah Eksais 2006. Manakala, JIPK turut menahan seorang warga asing kerana dipercayai tinggal lebih masa di negara ini selepas pas imigresennya mansuh.

    Di samping itu, usaha tersebut juga mendukung salah satu aspirasi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Sehubungan dengan itu, adalah diingatkan kepada pemilik atau pengurus syarikat dan individu agar tidak mengambil ringan terhadap kesalahan-kesalahan yang telah dikenakan tindakan dan diarahkan untuk menjelaskan denda kompaun dengan segera serta membersihkan kawasan yang telah dijadikan tempat pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang.

    Jika gagal membuat demikian, kes akan dibawa ke mahkamah di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Pindaan 2021) Bab 12 (1), sekiranya sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi $9,000 bagi individu, manakala bagi syarikat tidak melebihi $30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Pihak jabatan juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang dengan menyertakan alamat lokasi berserta gambar-gambar melalui aplikasi WhatsApp ke talian 8321581.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah sewa di Kampung Katimahar, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JDBM
    Longgokan sampah yang ditemui semasa operasi tersebut. – GAMBAR SERAHAN JDBM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda