TOKYO, 3 SEPT – Anggota penyelamat pengawal pantai Jepun hari ini mencari baki 42 kru kapal yang dipercayai tenggelam dalam kejadian taufan, selepas satu-satunya mangsa terselamat yang menggunakan jaket keselamatan ditemui terapung.
The Gulf Livestock 1, yang membawa muatan hampir 6,000 ekor lembu, membuat panggilan kecemasan pada awal kelmarin dari kedudukan 185 kilometer (115 batu) barat pulau Amami Oshima di Jepun.
Pengawal pantai Jepun menghantar pesawat dan kapal penyelamat untuk melakukan operasi pencarian kapal berkenaan dan lewat kelmarin menemui satu-satunya mangsa yang masih hidup – ketua pegawai kapal warga Filipina berusia 45 tahun. Gambar dramatik yang dikeluarkan oleh pengawal pantai menunjukkan lelaki itu terapung-apung dalam kegelapan dengan jaket keselamatan berwarna oren dan diselamatkan ke kapal penyelamat menggunakan tali.
Lelaki itu memberitahu penyelamat bahawa dia telah mengenakan jaket keselamatan dan menyelam ke laut selepas satu amaran kecemasan dikeluarkan di atas kapal tersebut kelmarin, ketika Taufan Maysak melewati kawasan berkenaan.
Dia berkata bahawa salah satu enjin kapal tersebut terhenti disusuli dengan gelombang ombak yang sekali gus telah menterbalikkan kapal tersebut dan menenggelaminya, kata pengawal pantai dalam satu kenyataan.

Tidak ada laporan terperinci mengenai bila dan di mana kapal itu karam, tetapi lelaki itu berkata bahawa dia belum melihat kru lain ketika menunggu untuk diselamatkan.
Sebuah kapal getah ditemui kelmarin di kawasan operasi pencarian mangsa yang masih hidup, tetapi pengawal pantai mengatakan mereka belum mengesahkan jika ia dikaitkan dengan kapal karam berkenaan.
Tiga kapal pengawal pantai, lima pesawat dan penyelam terlatih terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
Jepun ketika ini berada pada musim taufan tahunan, dan taufan besar kedua dijangka melanda di kawasan yang sama sekitar hari Ahad, menurut peramal tempatan, yang berkemungkinan akan menghambat lagi operasi pencarian tersebut.
Kapal berkenaan membawa 39 kru warga Filipina, dua warga New Zealand dan dua lagi warga Australia, dan telah dikendalikan oleh eksport global Australasia yang berpangkalan di Australia untuk membawa bekalan tersebut. – AFP