Operasi cari perakam kokpit pesawat ditangguhkan

JAKARTA, 13 JAN – Cuaca buruk hari ini telah memaksa puluhan penyelam untuk menangguhkan pencarian perakam suara kokpit pesawat Indonesia yang terhempas Sabtu lalu ketika para penyiasat bekerja keras untuk membaca butiran penting peranti data penerbangan yang sudah ditemui.

Dua ‘kotak hitam’ akan memberikan petanda penting kenapa pesawat Sriwijaya Air Boeing 737-500 terjunam kira-kira 10,000 kaki (3,000 meter) dalam masa kurang seminit sebelum terhempas ke Laut Jawa sejurus berlepas dengan membawa seramai 62 penumpang.

Para penyelam di luar pantai Jakarta berjaya menemui perakam data kelmarin dengan pencarian sekarang menumpu kepada pencarian perakam suara di dasar laut yang berselerakan dengan serpihan nahas.

Penemuan itu muncul ketika pasukan dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS (NTSB) bersedia untuk menyertai siasatan di bandar itu, bersama kakitangan dari Boeing, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan pengeluar enjin jet GE Aviation.

Ketika puluhan bot masih mengumpulkan serpihan, cuaca buruk telah memaksa para penyelam untuk menangguhkan sementara operasi mereka.

“Ia telah dibatalkan…kerana cuaca buruk. Semua penyelam kini sedang tunggu sedia,” kata jurucakap agensi pencari dan penyelamat, Yusuf Latif.

Sejenis robot ROV masih lagi meneruskan operasi pencarian di dasar laut terbabit.

Ketua agensi, Soerjanto Tjahjono berkata sehari sebelumnya, para penyiasat berharap dapat memuat turun data dari kotak hitam yang ditemui itu secepat mungkin, oleh itu ‘kita dapat mendedahkan misteri di sebalik kemalangan ini’. – AFP

Anggota Jawatankuasa Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) memeriksa turbin pesawat Sriwijaya SJ182 di pelabuhan Tanjung Priok, utara Jakarta pada 13 Januari. – AFP