Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi catat pelbagai kesalahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Pelbagai kesalahan telah didapati dalam operasi bersepadu yang menyasarkan tempat kediaman dan rumah-rumah sewa pekerja asing, di kawasan perpindahan Kampung Mata-Mata, baru-baru ini.

    Dalam operasi itu, seorang warga asing telah ditahan kerana melarikan diri daripada majikan dan disyaki terlibat dengan penggunaan dadah.

    Selain itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) juga membuat rampasan dan adanya penyambungan bekalan elektrik tanpa kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Elektrik dengan penyambungan yang tidak sempurna.

    Seramai 16 orang pekerja warga asing pula telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan daripada jumlah tersebut, seorang telah dikeluarkan pas khas dan seorang warga Bangladesh telah ditahan di Balai Polis Pusat kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

    Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pula telah menangkap dua individu kerana didapati memiliki rokok tanpa amaran dan masing-masing mempunyai enam paket rokok.

    Sementara itu, Jabatan Daerah Brunei dan Muara mengeluarkan kompaun ke atas enam individu (setiap seorang dikenakan $100) dan dua buah syarikat ($500 bagi setiap syarikat).

    Operasi yang diketuai oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu melibatkan PDB, Biro Kawalan Narkotik, JIPK, JKED, Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

    Antara tujuan operasi adalah untuk melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan negara bersih dan bebas daripada kesalahan undang-undang.

    Para pegawai Jabatan Perkhidmatan Elektrik menjalankan operasi di kawasan perpindahan Kampung Mata-Mata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda