Operasi didik etika pengguna jalan raya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Tujuh kesalahan lalu lintas telah dikesan semasa pemeriksaan ke atas 286 buah kenderaan pada operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di kawasan Jalan Barun, Lamunin, baru-baru ini.

Operasi yang dikendalikan oleh 15 anggota itu diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Muhd Zulfadli bin Haji Awang Yussof dan telah berhasil menemukan tujuh kesalahan yang dikenakan tindakan kompaun.

Antara kesalahan tersebut adalah penggunaan pelekat filem di cermin kenderaan, tidak memasang bendera bagi jentera pengangkutan, membawa lebih muatan daripada dibenarkan, mengubahsuai kenderaan serta kenderaan tidak layak dan selamat dipandu di atas jalan raya.

Operasi yang serupa juga dijalankan di kawasan Jalan Bokok, Temburong pada 16 Oktober lalu yang dikendalikan oleh lima orang keanggotaan Balai Polis Bangar, PDB.

Hasil daripada operasi berkenaan, satu kesalahan kompaun telah dikeluarkan ke atas seorang pemandu kerana didapati telah melanggar akta lalu lintas.

Operasi-operasi tersebut dijalankan bagi memberi kesan faedah dan impak yang positif dalam usaha pengesanan, pembanterasan serta penahanan ke atas penjenayah-penjenayah yang cuba untuk melebarkan aktiviti-aktiviti jenayah serta kegiatan negatif di negara ini.

Sehubungan dengan itu, PDB terus komited dalam melaksanakan operasi ini secara optimum dan berterusan dalam usaha untuk membantu negara ini mencapai hasrat mengurangkan kadar kemalangan dan mendidik para pemandu untuk lebih peka dalam etika keselamatan dan pemanduan di jalan raya.

Antara kenderaan yang didapati membawa muatan berlebihan.