Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi helikopter penyelamat ke Gunung Everest disambung semula

    KATHMANDU, 28 JAN – Syarikat penerbangan Nepal telah menyambung semula penerbangan helikopter penyelamat ke kawasan Gunung Everest selepas dihentikan selama beberapa minggu berikutan bantahan penduduk tempatan yang membangkitkan isu kesan terhadap alam sekitar dan kehilangan pendapatan daripada pelancong.

    Helikopter menjadi pengangkutan penting untuk operasi penyelamatan di banyak kawasan terpencil di pergunungan Nepal, yang sebahagian besarnya sukar diakses melalui jalan darat.

    Namun, helikopter juga sering digunakan oleh pendaki dan pelancong sebagai jalan pintas merentasi laluan sukar di Taman Negara Sagarmatha.

    Bagi mereka yang mampu membayar kos sekitar AS$1,000, perjalanan dua minggu ke kem pangkalan Everest boleh dipendekkan menjadi sehari sahaja sekali gus mengurangkan pendapatan masyarakat tempatan yang bergantung pada jalan darat.

    Pegawai persatuan, Pratap Jung Pandey, memaklumkan kepada AFP hari ini bahawa penerbangan operasi penyelamat telah dibuka semula pada Sabtu ‘atas dasar kemanusiaan’.

    Bagaimanapun, penerbangan komersial ke kawasan tersebut masih ditangguhkan sementara rundingan dengan penduduk tempatan masih berjalan.

    “Rundingan menunjukkan kemajuan positif dan penerbangan komersial dijangka dibuka semula tidak lama lagi. Namun, saya tidak dapat mengesahkan bila ia akan berlaku,” kata Pandey. – AFP

    Gambar fail menunjukkan sebuah helikopter melintasi kem pangkalan Everest di wilayah Gunung Everest di daerah Solukhumbu, kira-kira 140 kilometer timur laut ibu kota Nepal Kathmandu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda