Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Jenggo SB cekup 23

    TEMBURONG, 22 OGOS – Seramai 21 warga tempatan berumur 28 hingga 70 tahun termasuk dua penduduk tetap yang berumur 40 dan 55 tahun telah ditahan dalam Operasi Jenggo SB kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Daerah Temburong, baru-baru ini.

    Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan operasi dijalankan pada pertengahan Ogos itu merupakan usaha pencegahan yang dijalankan untuk membanteras jenayah dadah di daerah tersebut dengan menyasarkan pengguna-pengguna dadah yang dikenal pasti terlibat menjalankan aktiviti pengedaran dadah berskala kecil.

    Serbuan telah dijalankan ke atas 10 buah lokasi di Daerah Temburong iaitu empat lokasi di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, dua lokasi di Kampung Batang Tuau, masing-masing satu lokasi di Kampung Bokok, Kampung Parit Belayang, Kampung Paya Begangan dan Kampung Sumbiling Baru.

    Majoriti tangkapan operasi itu terdiri daripada pengguna-pengguna dadah yang telah lama bergiat dalam menjalankan aktiviti penyalahgunaan dadah, namun, mereka tidak serik untuk terus terlibat, bukan sahaja dalam aktiviti penyalahgunaan dadah tetapi juga turut terlibat dalam menjalankan aktiviti pengedaran dadah di daerah itu.

    Tangkapan operasi itu juga telah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Kampong Ayer.

    Antara alat yang digunakan untuk mengambil dadah. – Gambar serahan BKN
    Antara barang rampasan semasa operasi berkenaan. – Gambar serahan BKN
    Gambar serahan BKN

    Turut dirampas semasa operasi adalah dadah jenis syabu seberat 0.33 gram dan alat-alat perkakas yang digunakan untuk mengambil dadah.

    Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 6(a), Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal; Seksyen 6(b), Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memakan dadah terkawal dan Seksyen 7, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki alat perkakas untuk menyalahgunakan dadah.

    Setakat ini, lima individu yang ditangkap dalam operasi itu telah didakwa di Mahkamah Majistret pada 16 dan 19 Ogos bagi kesalahan lama dan telah dikenakan denda dan dijatuhkan hukuman penjara antara tempoh 11 bulan hingga empat tahun.

    Sehubungan dengan itu, BKN memberikan amaran kepada pengedar-pengedar dadah yang bergiat aktif mengedar dadah terkawal sama ada mengedar dalam skala yang kecil atau terlibat dalam rangkaian sindiket pengedaran dadah bahawa mereka tidak akan terlepas daripada jangkauan penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan.

    BKN turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan dengan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini.

    Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dadah, bolehlah menghubungi BKN di talian 2448877 (waktu pejabat) atau hotline 8777444 (selepas waktu pejabat).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda