Tuesday, November 19, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi JIM tahan 37 warga asing

    SHAH ALAM, 2 SEPT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua gudang pembungkusan dan penghantaran barang jualan e-dagang di Jalan Kebun yang dipercayai melindungi serta menggaji pekerja warga asing tanpa izin, hari ini.

    Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha, berkata 37 pendatang tanpa izin termasuk wanita ditahan daripada 87 individu yang diperiksa dalam serbuan yang bermula 12 tengah hari. 

    “Mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Sri Lanka dan Nepal yang dipercayai melakukan kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas perjalanan. 

    “Pada masa sama, JIM turut mengesan kesalahan majikan menggajikan serta melindungi  pekerja warga asing tanpa izin dan mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, hari ini. Dalam hal itu, Jafri memberi peringatan kepada majikan supaya tidak menggajikan pendatang tanpa izin dan JIM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.   

    Beliau juga mengingatkan majikan agar tidak melantik mana-mana ejen dalam usaha mendapatkan permit dan dokumen pekerja asing sebaliknya datang terus ke pejabat JIM bagi urusan tersebut. “Majikan dinasihatkan berurusan terus dengan JIM kerana kita tidak melantik atau berurusan dengan mana-mana ejen (bagi pengambilan pekerja warga asing),” katanya. – Bernama

    Jafri Embok Taha (tiga, kiri), mengetuai Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah premis jenis kilang pada 2 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda