Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Kabat JIPK kesan pelbagai kesalahan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini, telah melaksanakan dua siri Operasi Kabat JIPK 2024.

    Sehubungan itu, menerusi Operasi Kabat 96/2024, BPU JIPK, Cawangan Kuala Belait, telah menjalankan pemeriksaan ke atas 16 warga asing di sebuah rumah penginapan di Mukim Kuala Belait.

    Dalam pemeriksaan itu, seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke BPU bagi siasatan lanjut kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15 (1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.

    Manakala dua buah lokasi iaitu sebuah restoran di Mukim Kianggeh dan sebuah bengkel kereta di Mukim Lumapas turut disasarkan semasa Operasi Bersepadu Kabat 97/2024.

    Semasa pemeriksaan yang dijalankan oleh BPU JIPK, Bandar Seri Begawan bersama agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang daripada Jabatan Buruh, Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan Jabatan Bandaran, BSB ke atas lima warga asing di sebuah restoran di Mukim Kianggeh didapati dua daripadanya telah ditahan dan dibawa ke BPU bagi siasatan lanjut kerana kegagalan untuk mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan turut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15 (2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.

    Pegawai penguat kuasa undang-undang semasa menjalankan operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    GAMBAR SERAHAN JIPK
    GAMBAR SERAHAN JIPK

    Dalam pada itu, Jabatan Buruh turut merekodkan beberapa kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 iaitu di bawah Bab 63 di atas kegagalan majikan memberikan cuti rehat; Bab 64 di atas kesalahan bekerja semasa hari cuti; Bab 65 bekerja melebihi jam; Bab 72 gagal memberi cuti sakit yang disahkan pihak perubatan; Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas; Bab 112(1) kesalahan mengaji pekerja asing tanpa lesen sah daripada Persuruhjaya Buruh dan; Bab 112(3) melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing.

    Selain itu, Jabatan Buruh juga mendapati satu kesalahan di bawah Perintah Agensi Pekerjaan 2004 iaitu bagi kesalahan menjalankan kegiatan agensi tanpa lesen.

    Sementara itu, dari hasil pemeriksaan yang dilaksanakan oleh BPU BSB bersama Jabatan Bandaran BSB, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Daerah Temburong di sebuah bengkel kereta di Mukim dalam operasi kabat bersepadu itu telah melibatkan pemeriksaan ke atas dua warga asing.

    Seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke BPU bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15 (3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.

    Hasil operasi, Jabatan Daerah turut mendapati kesalahan di bawah Bab 12(1), Akta Kesalahan–kesalahan Rampaian (Pindaan 2021) bagi kesalahan meninggalkan apa juga jenis sampah di atas tanah lapang tanpa kebenaran dan seterusnya dikenakan denda kompaun sebanyak $2,000.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda