Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Operasi Kabat: Lapan warga asing ditahan penguat kuasa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Sebuah Pusat Pembelajaran di Mukim Berakas B, telah menjadi sasaran dalam operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.

    Operasi Kabat 10/2024 oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-undang (BPGN), Bandar Seri Begawan (BSB) itu telah menahan lapan orang warga asing dalam pemeriksaan tersebut dan dibawa ke Bahagian Pengkuatkuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut.

    Hasil pemeriksaan semasa operasi itu, tiga warga asing dipercayai tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh dan seorang daripadanya melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2) iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.

    Manakala, empat warga asing dibawa ke BPGN BSB bagi siasatan lanjut dan gagal menunjukkan dokumen yang sah.

    Hasil daripada Operasi Kabat 10/2024 itu telah membawa kepada dua pendakwaan terhadap warga Indonesia iaitu, Neneng Rohayati, perempuan berusia 47 tahun dan Sarintan, perempuan berusia 58 tahun yang telah dijatuhkan hukuman di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresen mereka mansuh.

    Individu-individu berkenaan telah pun dikenakan hukuman penjara selama empat bulan dan denda sebanyak $1,000 sebagai gantian kepada sebatan, walau bagaimanapun, individu-individu berkenaan gagal membayar denda berkenaan dan menjadikan hukuman penjara mereka kepada lima bulan.

    Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JIPK, Dayang Haminah binti Haji Awang Salleh dan dibuat di hadapan Majistret Fatin Fikriyah binti Haji Rosli.

    Sehubungan itu, jabatan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi di talian hotline JIPK 8734888 atau 8753888 (BSB) atau 8984111 (Kuala Belait).

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan ketika operasi tersebut. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...