Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Kabat tahan 24 warga asing

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Seramai 100 orang warga asing telah diperiksa dan 24 daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan dokumen asal dalam Operasi Bersepadu Kabat 32/2024 yang dijalankan di Pasar Tani Setenaga di Mukim Sengkurong.

    Operasi berkenaan dijalankan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Buruh.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, warga asing yang ditahan berkenaan dipercayai membuat kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja dengan majikan lain dan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.

    Pemeriksaan juga menemukan kesalahan di bawah agensi-agensi penguatkuasaan lainnya yang mana PPDB telah mengenakan kompaun di bawah Peraturan 53, Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya, Penggal 68 ke atas seorang individu atas kesalahan plat lesen kereta pecah.

    Jabatan Buruh pula mendapati dua individu dipercayai melakukan kesalahan di mana jawatan mereka adalah di bawah jaminan lesen perkhidmatan domestik iaitu pembantu rumah tangga dan pemandu di bawah Jabatan Buruh.

    Selain itu, sebanyak 14 kompaun bagi kesalahan di bawah Jabatan Pengangkutan Darat telah dikeluarkan.

    Manakala itu, di Daerah Belait, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Kuala Belait, JIPK telah menjalankan Operasi Kabat 31/2024 yang menyasarkan kawasan projek pengubahsuaian kedai di Mukim Kuala Belait.

    Dalam operasi itu, enam orang warga asing telah diperiksa dan dua daripadanya ditahan bagi siasatan lanjut.

    Salah seorang daripadanya dipercayai melanggar Bab 55 (4)(a)(b)(c), Akta Imigresen Penggal 17 iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah dan Bab 15(1), Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh.

    Seorang lagi dipercayai melanggar Peraturan 35(1), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu mengambil pekerja tanpa pengetahuan majikan asal.

    Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi terus hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).

    Antara warga asing yang diperiksa dan ditahan semasa operasi tersebut dilaksanakan.
    – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda