Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Tiga warga asing telah ditahan dalam dua Operasi Kabat yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, Operasi Kabat 113/2024 yang dijalankan JIPK Bandar Seri Begawan menyasarkan sebuah rumah sewa di Mukim Sengkurong, di mana tiga warga asing telah diperiksa dan satu daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.
Hasil pemeriksaan, individu tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan kerja yang tercatat di dalam pas kerjanya.
Sementara itu, Operasi Kabat 114/2024 dijalankan oleh JIPK cawangan Kuala Belait, yang menyasarkan di satu tapak projek pembinaan di Mukim Belait, di mana dua warga asing diperiksa kemudian ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.
Hasil pemeriksaan, kedua-dua individu tersebut gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen asal. Selain itu, seorang daripada warganegara asing tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 dan seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 35(1), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bertanggungjawab mengambil individu tersebut bekerja tanpa pengetahuan majikan asal.
Sementara itu, JIPK turut mengongsikan satu kes pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 di mana Kartika Sari, perempuan berumur 41 tahun, warganegara Indonesia, telah pun dijatuhkan hukuman atas kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di Negara Brunei Darussalam setelah pas imigresennya mansuh.
Individu berkenaan dijatuhkan hukuman lima bulan penjara dan denda sebanyak $800 sebagai gantian kepada hukuman sebat. Walau bagaimanapun, individu itu telah gagal membayar jumlah gantian kepada sebatan tersebut dan menjadikan hukuman penjara kepada enam bulan.
Pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Sharifah Nur Baqiah binti Malai Shahran dan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JIPK, Haminah binti Haji Awang Salleh.
Kes berkenaan merupakan hasil daripada dapatan tahanan yang dibuat semasa Operasi Kabat JIPK 112/2024 di rumah dan bilik-bilik sewa di Mukim Pengkalan Batu.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi terus hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).