Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Sebanyak 10 kesalahan telah didapati semasa Operasi Kelinga 222/2023 yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, di kawasan Kampung Limau Manis dan Kampung Sungai Hanching, baru-baru ini.
Pemeriksaan pertama dijalankan di kegiatan kedai runcit di Kampung Limau Manis di mana tujuh kesalahan didapati dilakukan oleh majikan di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Antara kesalahan-kesalahan yang didapati adalah di bawah Bab 10 iaitu majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan, Bab 63 gagal memberikan cuti rehat, Bab 65 melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan, Bab 70 gagal memberikan cuti hari kelepasan awam, Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan, Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan kecemasan, dan Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing, di mana pekerja yang berjawatan buruh kedai didapati membuat pekerjaan juruwang.
Pemeriksaan kedua yang telah dijalankan di tempat letak kereta kegiatan kedai runcit Kampung Sungai Hanching telah mendapati tiga kesalahan di bawah Bab 70, Bab 86 gagal mendapatkan kebenaran tempat pekerjaan dan gagal membuat penyusunan semula penempatan pekerja tambahan dan Bab 112(2) di mana dua orang pekerja berjawatan sebagai buruh kedai dan pekerja berjawatan sebagai pembuat roti membuat pekerjaan penghantaran barang.
Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Operasi bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.


