Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Sebanyak 20 kesalahan telah didapati semasa Operasi Kelinga yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di beberapa lokasi di kawasan Kampung Jerudong dan Kampung Anggerek Desa, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, Operasi Kelinga 218/2023 pada 5 Oktober lalu telah menyasarkan dua lokasi di Kampung Jerudong di mana tujuh kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 telah didapati dilakukan oleh majikan di lokasi pertama.
Kesalahan-kesalahan berkenaan adalah di bawah Bab 44 iaitu membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan, Bab 63 gagal memberikan cuti rehat, Bab 65 melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan, Bab 70 gagal memberikan cuti hari kelepasan awam, Bab 72 majikan gagal memberikan cuti sakit, Bab 86 gagal mendapatkan kebenaran tempat pekerjaan dan gagal membuat penyusunan semula penempatan pekerja tambahan, serta Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing, di mana pekerja berjawatan sebagai tukang masak membuat pekerjaan tukang buat minuman, dan pekerja berjawatan tukang buat minuman membuat pekerjaan juruwang.
Di lokasi kedua, lima kesalahan telah didapati iaitu di bawah Bab 10 majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan, Bab 70, Bab 86, Bab 112(1) menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh, dan Bab 112(2) di mana pekerja berjawatan sebagai buruh binaan, dan buruh membuat pekerjaan penghantaran barang.
Sementara itu, Operasi Kelinga 220/2023 pada 7 Oktober lalu turut menyasarkan dua lokasi di kawasan Kampung Anggerek Desa.
Pemeriksaan pertama mendapati tujuh kesalahan di bawah Bab 63, Bab 65, Bab 70, Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas, Bab 86, Bab 112(1) dan Bab 112(2) di mana pekerja berjawatan sebagai tukang masak membuat pekerjaan tukang buat minuman, dan pekerja berjawatan tukang buat minuman membuat pekerjaan juruwang.
Manakala itu, pemeriksaan kedua mendapati satu kesalahan di bawah Bab 112(2) di mana pekerja berjawatan sebagai pembantu tukang masak membuat pekerjaan tukang masak.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya. Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.