Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Kelinga catat pelbagai kesalahan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Pelbagai kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 telah didapati dilakukan oleh majikan semasa Operasi Kelinga 183/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di kawasan Kampung Jangsak dan Kampung Sengkurong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pemeriksaan di Kampung Jangsak telah mendapati satu kesalahan di bawah Bab 112(1) iaitu menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh.

    Manakala, pemeriksaan di Kampung Sengkurong mendapati tujuh kesalahan termasuk di bawah Bab 10 iaitu majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 65 iaitu melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan, Bab 70 iaitu gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 iaitu gagal memberikan cuti tahunan, Bab 72 gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan, dan Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas.

    Pemeriksaan turut mendapati tiga orang pekerja asing berjawatan sebagai buruh membuat pekerjaan sebagai juruwang yang merupakan kesalahan di bawah Bab 112(2) iaitu melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing.

    Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua manakala bagi kesalahan ketiga ataupun jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Pegawai penguatkuasa semasa menjalankan tugasnya. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda