Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Kelinga kesan pelbagai kesalahan

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Sebanyak 15 kesalahan telah didapati dalam Operasi Kelinga 171/2023 yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh dalam menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan di beberapa lokasi, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, pemeriksaan pertama yang telah dijalankan di Kampung Kiulap telah mendapati dua kesalahan dilakukan oleh majikan iaitu Bab 82, gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas, dan Bab 112 (2), kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing di mana dua orang pekerja berjawatan sebagai buruh membuat pekerjaan sebagai juruwang.

    Pemeriksaan kedua di Kampung Kiulap telah mendapati sembilan kesalahan iaitu Bab 10, majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 44 membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan, Bab 64 gagal memberikan cuti rehat, Bab 65 melebihi jam kerja yang ditetapkan, Bab 70 gagal memberikan cuti hari kelepasan awam, Bab 71 majikan gagal memberikan cuti tahunan, Bab 72 majikan gagal memberikan cuti sakit, Bab 82, dan Bab 86 gagal mendapatkan kebenaran tempat pekerjaan dan gagal membuat penyusunan semula penempatan pekerja tambahan.

    Seterusnya, pemeriksaan ketiga yang dijalankan di Kampung Berakas telah mendapati dua kesalahan iaitu di bawah Bab 10 dan Bab 82.

    Manakala itu, pemeriksaan keempat yang telah dijalankan di Kampung Manggis telah mendapati dua kesalahan iaitu di bawah Bab 82 dan Bab 112 (2) di mana dua orang pekerja berjawatan sebagai kakitangan pemasaran dan eksekutif pemasaran membuat pekerjaan sebagai juruteknik dan pengutip bayaran.

    Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua, sementara itu, bagi kesalahan ketiga atau jika gagal membayar denda kompaun, majikan akan di-hadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Para majikan dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan tugasnya. – Gambar Serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda