Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Sebanyak 32 kesalahan pelanggaran akta lalu lintas telah didapati semasa operasi sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan KM 49.5 Jalan Lebuhraya Tutong/Telisai hala Telisai, kelmarin.
Operasi yang melibatkan pegawai dan keanggotaan daripada Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi itu telah memeriksa 874 buah kenderaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, sebanyak 20 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan mengubah suai kenderaan daripada asal, tayar nampak benang, memasang tabir atau pelekat plastik filem, memandu kenderaan yang tidak layak dari segi keselamatannya dan menggunakan kenderaan persendirian untuk tujuan perniagaan tanpa permit yang sah.
Sementara itu, JPD mencatatkan 12 kesalahan termasuk lesen kenderaan mansuh atau cukai jalan mansuh, alat amaran had kelajuan SWD tidak berfungsi atau mansuh, tidak mempunyai lesen memandu yang sah atau lesen memandu mansuh, memandu kenderaan yang tidak layak dari segi keselamatannya, tidak membawa sijil kelayakan kenderaan dan kenderaan membawa lebih muatan.
Kenyataan menegaskan, PPDB berserta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan sentiasa menjalankan operasi seumpamanya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan kepentingan mematuhi segala peraturan lalu lintas di negara ini.
