Tuesday, December 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi kesan beberapa kesalahan imigresen

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Beberapa kesalahan di bawah Peraturan Imigresen didapati dilakukan beberapa warganegara asing semasa Operasi Sakat 132/2023 Bersepadu bersama Jabatan buruh yang dikendalikan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) baru-baru ini di beberapa buah bengkel kereta di Mukim Pengkalan Batu dan Mukim Kilanas.

    Hasil daripada pemeriksaan bengkel kereta di Mukim Pengkalan Batu, seramai tujuh warganegara asing telah diperiksa dan seorang daripadanya telah diarahkan untuk melapor diri ke Bahagian Penguatkuasa Undang-undang untuk siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 15(2), Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.

    Seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 15(3) iaitu tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.

    Sementara itu, lapan orang warganegara asing telah diperiksa dalam operasi di Mukim Kilanas, empat daripadanya telah diarahkan untuk melapor diri ke Bahagian Penguatkuasa Undang-undang untuk siasatan lanjut, dua dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Imigresen 15(3) iaitu tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport manakala dua lagi didapati memegang pas lawatan.

    Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih dari enam bulan atau denda tidak lebih daripada $2,000 atau kedua-duanya sekali.

    JIPK mengingatkan para majikan atau penjamin untuk memastikan pekerja-pekerja di bawah jaminan mereka adalah bekerja mengikut jawatan yang dinyatakan di dalam pasport individu berkenaan dan untuk memastikan pas-pas imigresen warganegara asing adalah sentiasa sah mengikut Akta dan Peraturan Imigresen.

    Pegawai JIPK semasa menjalankan pemeriksaan ke atas pekerja dalam Operasi Sakat baru-baru ini. – Gambar serahan JIPK
    Pegawai Penguat kuasa Undang-undang menjalankan pemeriksaan di salah sebuah bengkel kereta semasa Operasi Sakat baru-baru ini. – Gambar serahan JIPK

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda