Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Sebuah rumah sewa di Kampung Madang yang dijadikan tempat tinggal pekerja asing telah menjadi sasaran dalam satu Operasi Bersih Bersepadu oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara baru-baru ini.
Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan serta Jabatan Kastam dan Eksais Di-Raja yang menemui pelbagai kesalahan.
Hasil pemeriksaan mendapati empat buah syarikat yang telah melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) dan dikenakan kompaun sebanyak $1,000.
Manakala dua individu warga asing turut dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama iaitu $100.00 sebanyak $300.00
Kesemua pihak yang terlibat telah diarahkan untuk membersihkan kawasan terbabit dan dikehendaki menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Sekiranya gagal, kes akan dibawa ke mahkamah di mana individu boleh didenda sehingga $9,000, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda tidak melebihi $30,000 atau dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Jabatan Daerah Brunei dan Muara menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pembuangan sampah haram dengan menyertakan alamat lokasi dan gambar melalui WhatsApp ke 8321581.
Semua di atas: Antara kesalahan-kesalahan yang dikenal pasti. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JDBM