Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Lima kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 telah didapati dilakukan oleh majikan semasa Operasi Kelinga 193/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh di Kampung Jangsak, baru-baru ini.
Menurut jabatan itu, antara kesalahan yang didapati ialah kesalahan di bawah Bab 10 iaitu majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan, Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan kecemasan, Bab 86 gagal mendapatkan kebenaran tempat pekerjaan dan gagal membuat penyusunan semula penempatan pekerja tambahan, Bab 112(1) menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh, dan Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing.
Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.
Manakala itu, bagi kesalahan ketiga atau jika gagal membayar kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal keba-jikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
