Friday, December 20, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi kesan pelencongan pendawaian meter elektrik

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Pelencongan pendawaian meter elektrik, minuman keras, tiada alat kecemasan antara beberapa kesalahan yang telah direkodkan dalam satu operasi sepadu yang dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi-agensi penguat kuasa undang-undang di tiga buah lokasi yang melibatkan seramai 177 pegawai dan anggota.

    Operasi yang bermula sekitar jam 10:30 malam telah menyasarkan kawasan Jalan Tasek, Jalan Kianggeh, Jalan Kumbang Pasang dan satu sekatan jalan raya di kawasan hadapan Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Jalan Kumbang Pasang menuju Bandar Seri Begawan.

    Operasi yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara (Operasi) itu turut melibatkan para pegawai dan anggota-anggota dari Daerah Polis Brunei Muara dan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang dan peraturan-peraturan seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta
    Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).

    Turut sama terlibat ialah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE).

    Berikutan hasil daripada operasi berkenaan, JKED telah menahan tiga orang atas kesalahan memiliki minuman keras dan rokok, manakala 17 warga asing ditahan oleh JIPK atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen yang sah.

    Pelencongan pendawaian meter elektrik antara kesalahan yang direkodkan dalam operasi sepadu. – Gambar serahan PPDB
    Sekatan jalan raya turut diadakan semasa operasi sepadu itu. – Gambar serahan PPDB

    Sementara itu, pihak BKN menahan dua lelaki tempatan atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dengan JPE mendapati dua buah premis membuat kesalahan pelencongan pendawaian (meter bypass) dan penyambungan tanpa kebenaran serta tidak melalui meter untuk diberikan kepada kediaman lain.

    Manakala itu Jabatan Buruh pula mendapati 11 buah bilik melakukan kesalahan di bawah Bab 82 iaitu tiada menyediakan alat kecemasan dan sebuah bilik menyalahi syarat lesen dan Bab 82.

    JDBM pula telah mengeluarkan satu kompaun ke atas seorang individu bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian dengan JBBSB telah merekodkan kesalahan melonggokan sampah di lorong akses Bangunan Flat Aman Sentosa, Jalan Kianggeh dan lima buah kenderaan terbiar di kawasan simpang bilik-bilik sewa di Jalan Kumbang Pasang.

    Objektif operasi tersebut adalah bagi memastikan acara-acara yang akan diadakan sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun ini di ibu negara terus berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang.

    Operasi seumpamanya adalah usaha berterusan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan di Daerah Brunei dan Muara dalam misi membanteras dan membendung kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa pada masa ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda