BANDAR MEXICO, 11 OGOS – Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez di Bandar Mexico menggantung operasi selama beberapa jam kelmarin selepas hujan lebat membanjiri ibu negara dan menyebabkan jarak penglihatan yang kurang jelas, kata pihak berkuasa.
“Disebabkan hujan lebat petang kelmarin dan berdasarkan laporan tentang penglihatan kurang jelas… pihak berkuasa aeronautik telah mengarahkan penggantungan operasi pendaratan dan berlepas selama tiga jam akan datang,” menurut akaun rasmi X lapangan terbang itu sebelum 9 malam kelmarin.
“Ini akan membolehkan penyaliran air hujan yang telah menyebabkan banjir dan memulihkan kapasiti operasi,” katanya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez, salah satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa di bandar itu, adalah antara yang paling sibuk di Amerika Latin, yang menerima 45.4 juta penumpang pada 2024.
Hujan kelmarin membanjiri jalan utama di Bandar Mexico, dengan air mencecah sehingga 50 sentimeter di beberapa buah kawasan. – AFP


