ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
UMAT manusia mungkin telah memenangi pertempuran tersebut, namun kini ancaman baru yang lebih besar daripada sebelumnya telah muncul. Angkatan bersenjata bumi telah berjaya menahan kemaraan Lanky dan mengusir kapal-kapal mereka dari sistem suria, namun bagi Pegawai CDC Andrew Grayson, peperangan tersebut masih belum mereka menangi.
Demikianlah yang ditampilkan di dalam novel Points of Impact, sebuah novel fiksyen sains daripada penulis Marko Kloos.
Di Marikh, tugasan menghapuskan makhluk-makhluk asing penjajah yang berketinggian 20 meter dari sarang mereka di bawah tanah telah mengorbankan banyak nyawa dan aset mereka dengan cepat sekali.
Bagi koloni-koloni yang lain, ancaman Lanky sentiasa wujud. Bagi bumi, harapan mereka terletak pada kapal-kapal dan senjata-senjata moden yang mereka cipta demi memburu dan membunuh Lanky serta meletakkan kekuatan tentera manusia setaraf dengan musuh yang menggerunkan itu.

Andrew dan isterinya, Halley, kini terbeban dengan tanggungjawab arahan dan menjaga lebih banyak nyawa berbanding hanya nyawa mereka sendiri. Terpanggil untuk tugasan melindungi umat manusia, mereka harus bersedia untuk fasa baru dalam peperangan tersebut.
Akan tetapi Lanky mempunyai agenda mereka sendiri, dan dalam peperangan pihak musuh tidak akan menunggu seteru mereka untuk membuat persediaan.
Andrew sekali lagi terhumban ke dalam kekalutan dan keganasan peperangan dengan spesies yang enggan mengalah itu. Dia terpaksa berhadapan dengan akibat daripada konflik yang tidak berpenghujung tersebut dan harga kelangsungan hidup yang mahal tidak kira apa pun jua.