KUCHING, 30 Dis – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang budak perempuan orang kurang upaya (OKU), Nur Syahadah Fatihah Imam, 10, yang terjatuh dari jambatan Pangkalan Perahu Tambang Kabong, Saratok pada malam 23 Disember, ditangguh hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman Husaini berkata, penangguhan operasi SAR itu dibuat hasil perbincangan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Kabong Mohd Chee Kadir, Pegawai Daerah Kabong Kamaruddin Alkab, Guru Besar SK Abang Leman, anggota keluarga mangsa serta agensi-agensi penyelamat yang lain.
Khirudin berkata, operasi SAR yang ditangguhkan pada jam 12:30 tengah hari ini akan disambung semula sekiranya terdapat penemuan baharu kedudukan atau jejak mangsa yang hilang.
Katanya, operasi selama tujuh hari itu disertai pasukan bomba dan penyelamat dike-tuai Ketua Balai Bomba Saratok Nazri Mohamat selaku komander operasi, pasukan polis, APM dan penduduk kampung menggunakan lima buah bot. – Bernama