Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi mitigasi buaya berjaya, Pulau Bohey Dulang dibuka semula

    SEMPORNA, 12 JUN – Substesen Pulau Bohey Dulang, yang terletak dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran, akan dibuka semula kepada pelawat mulai Sabtu ini.

    Pengurus Taman Marin Tun Sakaran, Ghazalie Pg Hindi berkata pembukaan itu selepas kejayaan operasi mitigasi ancaman buaya dilaksanakan di kawasan terbabit bersama komuniti setempat.

    “Kerja-kerja pemantauan akan terus dijalankan secara berterusan oleh agensi terlibat bagi memastikan keselamatan semua pengunjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Taman-Taman Sabah mengeluarkan notis penutupan sementara kawasan itu kepada orang awam bermula 10 Jun hingga esok bagi pelaksanaan operasi mitigasi ancaman buaya di kawasan terbabit.

    Pulau Bohey Dulang iaitu pulau kedua terbesar dalam Taman Marin Tun Sakaran adalah antara destinasi tarikan pelancong di Sabah yang terkenal dengan Bukit Bohey Dulang dengan keindahan pemandangan laut serta flora dan fauna.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Semporna, Salleh Abdul Salleh ketika dihubungi Bernama berkata seekor buaya betina sepanjang empat meter berjaya ditangkap oleh Komuniti Nelayan Sebangkat bersama Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) dalam operasi dijalankan pada 8 pagi, semalam.

    Beliau berkata buaya yang menjadi ancaman komuniti maritim itu dikesan selepas 30 minit operasi di kawasan laut berdekatan Sebangkat-Selakan Reef.

    “Awalnya, komuniti nelayan bersama KESAN menangkap buaya itu pada 9:20 pagi menggunakan pukat nelayan, namun haiwan reptilia itu berjaya melepaskan diri.

    “Komuniti turut menghubungi bomba serta pegawai Taman-Taman Sabah untuk bantuan lanjut,” katanya.

    Salleh berkata KESAN menangkap semula buaya itu pada 9:50 pagi sebelum Jabatan Hidupan Liar mengambil tindakan lanjut untuk menembak buaya terbabit demi keselamatan komuniti maritim termasuk pelancong di kawasan itu. – Bernama

    Buaya di Bohey Dulang berjaya ditangkap komuniti nelayan. – GAMBAR IHSAN TTS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda